Bahaya Dadah Sintetik dan Ancaman Bahan Psikoaktif Baharu –Trend, Isu dan Penyelesaian

TEKS UCAPAN

DATUK MOHD RIDHWAN MOHD ALI
Pengerusi, World Youth Foundation (WYF)

Sempena

FORUM BULANAN WORLD YOUTH FOUNDATION (WYF)

“Bahaya Dadah Sintetik dan Ancaman Bahan Psikoaktif Baharu – Trend, Isu dan Penyelesaian”

Isnin, 10 Ogos 2026, Dewan World Youth Foundation, Ayer Keroh, Melaka.

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamulaikum wr wbt dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu, marilah kita bersama-sama memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, dapat kita berhimpun pada pagi ini bagi menjayakan Forum Bulanan World Youth Foundation yang membincangkan satu isu yang amat penting, iaitu bahaya dadah sintetik dan ancaman bahan psikoaktif baharu, trend, isu dan penyelesaian.

Topik ini memerlukan perhatian serius, perbahasan terbuka dan percambahan pemikiran daripada semua pihak. Ancaman penyalahgunaan dadah tidak lagi terbatas kepada dadah konvensional, malah telah berkembang kepada pelbagai bentuk dadah sintetik dan bahan psikoaktif baharu yang semakin kompleks serta berpotensi mengancam kesejahteraan masyarakat, keselamatan negara dan khususnya masa hadapan generasi muda.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka, kerana sudi meluangkan masa bersama-sama kita pada pagi ini.

Kehadiran Tuan Yang Terutama amat besar maknanya dan mencerminkan keprihatinan serta komitmen terhadap usaha menangani isu penyalahgunaan dadah yang semakin membimbangkan, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Bagi pihak seluruh warga kerja World Youth Foundation, saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada barisan panel dan pakar yang sudi bersama kita untuk berkongsi ilmu, pandangan dan pengalaman dalam mencari pendekatan terbaik bagi membincangkan tajuk forum kita bahaya dadah sistetik dan ancaman bahan paikoaktif baharu : trend , isu dan peneyelesaian.

Tuan Yang Terutama, para tetamu kehormat, tuan-tuan dan puan-puan serta para belia dan pelajar sekalian,

Golongan muda merupakan antara aset paling berharga bagi sesebuah negara. Mereka ialah pewaris kepimpinan, tenaga penggerak sosioekonomi, pencetus inovasi dan harapan kepada masa hadapan negara. Namun, masa hadapan tersebut boleh terjejas sekiranya generasi muda kita terperangkap dalam penyalahgunaan dadah, bahan terlarang dan tabiat yang memudaratkan kesihatan serta kehidupan mereka.

Baru-baru ini, saya membaca satu laporan akhbar tempatan yang menyatakan bahawa lepasan sekolah menengah, termasuk mereka yang memiliki Sijil Pelajaran Malaysia atau SPM, merupakan antara kumpulan utama yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang.

Seramai 68,619 individu atau 68.1 peratus daripada jumlah yang direkodkan di seluruh negara terdiri daripada golongan muda dan
pertengahan umur.

Menurut Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), data terkini setakat suku pertama tahun 2026 menunjukkan bahawa fasa remaja dan persekolahan kekal sebagai tempoh kritikal dalam usaha mencegah golongan muda daripada terjebak dalam penagihan dadah.

Lebih membimbangkan, bilangan tertinggi mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah adalah daripada kumpulan usia produktif dan bekerja. Sebanyak 81.4 peratus atau 48,042 individu yang terlibat berusia antara 15 hingga 39 tahun.

Usia yang sepatutnya digunakan untuk menimba ilmu, membina kerjaya, membantu keluarga, mengejar cita-cita dan menyumbang kepada pembangunan negara — bukannya usia yang dimusnahkan oleh dadah.

Pada masa yang sama, kita turut berhadapan dengan cabaran dadah sintetik yang semakin meningkat, termasuk penyalahgunaan produk vape yang dikaitkan dengan bahan terlarang.

Berdasarkan laporan yang dirujuk, dadah sintetik telah menyumbang kepada 73 peratus kes penyalahgunaan dadah. Situasi ini turut dikaitkan dengan masalah kesihatan mental dan gangguan fungsi otak yang semakin membimbangkan dalam kalangan golongan muda.

Dahulu, apabila kita bercakap mengenai penyeludupan dadah, kita sering membayangkan dadah dibawa masuk melalui pelabuhan, kawasan sempadan fizikal atau lapangan terbang.

Tetapi cabaran hari ini sudah berubah.

Kewujudan platform media sosial, aplikasi komunikasi dan urusan pembelian secara dalam talian telah mewujudkan ruang baharu yang boleh dieksploitasi untuk memasarkan serta mendapatkan bahan-bahan terlarang. Berbeza dengan dadah tradisional, bahan sintetik boleh muncul dalam pelbagai formulasi, bentuk dan nama.

Lebih membimbangkan, terdapat bahan yang dipasarkan secara mengelirukan seolah-olah ia tidak berbahaya. Ia menggunakan nama yang menarik, pembungkusan kreatif dan mudah diperoleh melalui platform dalam talian.

Inilah cabaran baharu yang perlu kita hadapi bersama.

Kita tidak boleh menggunakan pendekatan semalam untuk menangani ancaman yang sentiasa berubah hari ini.

Justeru, World Youth Foundation terpanggil untuk menganjurkan forum ini sebagai sebuah platform untuk menghimpunkan pihak berkuasa, pakar, NGO, pemimpin masyarakat serta golongan belia bagi membincangkan isu ini secara terbuka dan seterusnya mencari penyelesaian yang praktikal serta berkesan.

Isu dadah bukan tanggungjawab satu agensi sahaja.

Ia memerlukan kerjasama seluruh ekosistem — kerajaan, agensi penguatkuasaan, institusi pendidikan, ibu bapa, masyarakat, NGO, media dan yang paling penting, golongan belia sendiri.

Saya tidak berhajat untuk berucap panjang kerana pada pagi ini kita mempunyai barisan pakar dan wakil pihak penguatkuasaan yang mempunyai pengalaman luas untuk berkongsi pandangan dan kepakaran masing-masing.

Saya amat berharap sesi pembentangan dan soal jawab pada hari ini bukan sekadar berakhir sebagai sebuah perbincangan. Kita mahu forum ini menghasilkan resolusi untuk tindakan.

Kita mahu idea dan pandangan yang dikemukakan hari ini dapat diterjemahkan kepada pelan tindakan dan hala tuju yang lebih berkesan dalam memerangi dadah sintetik, bahan psikoaktif baharu serta penyalahgunaan vape yang mengandungi bahan terlarang.

Ini adalah tanggungjawab kita bersama. Jangan kita biarkan dadah merampas impian anak-anak kita. Jangan kita biarkan ketagihan menghancurkan masa hadapan generasi muda.

Dan jangan kita tunggu sehingga masalah ini berada di hadapan pintu rumah kita sebelum kita mula bertindak.

Lindungi diri.
Lindungi keluarga.
Lindungi generasi muda kita.

Sekian, terima kasih.