Bengkel Pembuatan Beg Paku 2026 anjuran WYF dengan kerjasama Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negeri Melaka.

Seramai 30 anak muda dari Melaka telah menyertai Bengkel Teori Asas Pembuatan Beg Paku 2026 anjuran WYF dengan kerjasama Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negeri Melaka.  Bengkel tersebut telah berlangsung di Dewan WYF, Ayer Keroh, Melaka.

Bengkel tiga hari itu telah dirasmikan oleh Pengerusi World Youth Foundation (WYF), Datuk Mohd. Ridhwan Mohd Ali pada hari Selasa, 12 Oktober, 2026.  Hadir sama, Setiausaha Agung WYF, Datuk Norsabrina Mohd Noor dan Penolong Pengurus TVET Negeri Melaka, Nurliana Zulbahri.

Dalam siding akhbar sejurus selepas menyempurnakan perasmian Bengkel tersebut, Datuk Mohd Ridhwan telah menegaskan bahawa bantuan mesin oleh kerajaan yang sepatutnya menjadi kemudahan membina perniagaan sebaliknya dijual penerima semata-mata mahu mengaut keuntungan mudah.  Beliau berkata bahawa tindakan segelintir penerima menjual mesin atau peralatan yang dibekalkan agensi kerajaan amat dikesali.

Menurutnya, penerima mensia-siakan peluang untuk membangunkan perniagaan sendiri melalui bantuan berkenaan.  “Perbuatan itu juga boleh menjejaskan kepercayaan agensi berkaitan, sekali gus menyukarkan penerima terbabit mendapatkan bantuan pada masa hadapan”.

“Apabila ditanya mengenai bantuan sebelum ini, mereka kata baik dan mendapat keuntungan.  Betul ! memang mereka untung tetapi apabila ditanya berapa keuntungan, rupa-rupanya mereka sudah menjual mesin itu”.  Menurut beliau, tindakan itu menyebabkan penerima hanya akan mendapat keuntungan sekali sahaja.

“Kemungkinan mereka tidak lagi akan dibantu selepas ini. Sukar mempercayai penerima yang tidak menggunakan bantuan seperti sepatutnya.  Penerima yang benar-benar komited mengusahakan perniagaan berpeluang mendapat sokongan berterusan sehingga mampu mengembangkan perniagaan dan berdiri atas usaha sendiri,” tambah beliau lagi.

Ujarnya, sikap tidak bertanggungjawab segelintir penerima boleh menyebabkan proses permohonan bantuan menjadi lebih ketat dan melalui pelbagai dokumentasi ataupun syarat kelulusan.

Beliau menyeru peserta bengkel memanfaatkan kemahiran yang dipelajari untuk membangunkan perniagaan dengan menghasilkan produk kreatif serta mempunyai keunikan tersendiri dan berharap bengkel ini dapat menjadi titik permulaan kepada peserta untuk membina perniagaan yang mampan.

Sementara itu, peserta bengkel, Aisy Imanuddin Jamaluddin,18, dari Muar, Johor berkata, penyertaannya dalam bengkel itu menjadi peluang untuk memanfaatkan masa lapang selepas menamatkan persekolahan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Saya berharap kemahiran yang dipelajari dapat membuka ruang untuk menjana pendapatan sampingan pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, di majlis penutup bengkel tersebut pada 14 Oktober, 2026, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Melaka, Datuk Khaidirah Abu Zahar berkata, usahawan tidak seharusnya mengehadkan pasaran mereka di Melaka semata-mata.

Sebaliknya, tegas Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET Melaka itu, mereka boleh memanfaatkan teknologi digital untuk mendapatkan pelanggan dari luar kawasan.

 “Pasaran di Melaka yang kecil dari segi jumlah penduduk tidak seharusnya menjadi penghalang kepada peserta latihan kemahiran untuk mengembangkan perniagaan masing-masing.  “Jangan tengok hanya orang Melaka sahaja nak beli tapi tengok orang luar, sampai ke Singapura dan satu hari nanti boleh pos sampai ke Australia,” katanya.

Beliau berucap pada majlis penutupan Bengkel Teori Asas Pembuatan Beg Paku di Dewan Yayasan Belia Sedunia (WYF), di sini hari ini.

Khaidirah berkata, kemudahan teknologi dan hubungan digital ketika ini membolehkan usahawan memasarkan produk serta menerima pesanan dari pelbagai lokasi tanpa perlu membuka premis atau gerai di luar negara.

Katanya, penghantaran produk kepada pelanggan di luar negara juga bukan sesuatu yang mustahil, malah boleh dilakukan menerusi perkhidmatan penghantaran yang tersedia.

“Sekarang ini kita beli barang dari China, kita fikir tak macam mana mereka hantar barang kepada kita?”.  “Tetapi sampai, kan? Maka apa yang mustahil untuk produk kita sampai ke tempat mereka juga? Tak mustahil,” katanya.  Menurutnya, peserta latihan juga perlu menguasai kemahiran pemasaran digital bagi memastikan produk yang dihasilkan mampu menarik perhatian pelanggan dan bersaing di pasaran lebih luas.

Beliau mencadangkan peserta memanfaatkan platform seperti TikTok dan Instagram untuk mempromosikan beg paku yang dihasilkan, termasuk menggunakan gambar produk yang menarik bagi mendapatkan tempahan.

Katanya, kemahiran menghasilkan produk sahaja tidak mencukupi sekiranya peserta tidak mengetahui cara memasarkan dan menguruskan perniagaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, bengkel berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha Majlis TVET Negeri Melaka memperluas latihan kemahiran kepada komuniti, termasuk golongan yang mahu menjana pendapatan melalui perniagaan sendiri.