Program Aspirasi Gemilang STPM dan Pelancaran Buku Jejak Legasi Munshi Abdullah

Program Aspirasi Gemilang STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia) anjuran World Youth Foundation, telah diadakan baru-baru ini di Dewan WYF, Ayer Keroh, Melaka.  Turut berlangsung di program ini ialah pelancaran Buku Jejak Legasi Munshi Abdullah yang telah disempurnakan oleh TYT Tun Seri Setia Dr. Hj. Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka.

Menurut Pengerusi World Youth Foundation, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali, program Aspirasi Gemilang STPM ini bertujuan untuk menyuntik semangat dan keyakinan dalam kalangan penuntut-penuntut yang bakal menduduki peperiksaan STPM tidak lama lagi.  Datuk Mohd Ridhwan yakin bahawa program ini sedikit sebanyak dapat memberi harapan yang tinggi terutama kepada penuntut-penuntut dari kawasan Parlimen Hang Tuah Jaya di Melaka untuk mencapai keputusan yang cemerlang pada peperiksaan STPM tahun 2026.

“Sebagai ibu-bapa dan guru, kami sangatlah berharap pelajar-pelajar sekelian dapat menumpukan perhatian kepada peperiksaan yang bakal ditemui dengan penuh yakin dan bersedia dari sudut mengulang-kaji dan mampu menjawab soalan-soalan dengan cemerlang .   Sekadar peringatan, keputusan yang baik akan mempermudahkan anda masuk ke kolej dan universiti tempatan atau luar negara demi untuk melanjutkan pelajaran”, ujar Datuk Mohd Ridhwan.

Kira-kira 420 orang pelajar yang bakal menduduki peperiksaan STPM, telah menghadiri program tersebut bersama Pegawai Pendidikan Daerah Melaka Tengah, Tuan Hj. Mohd. Yusri bin Seman, Pengetua-Pengetua Sekolah, dan guru-guru yang telah mengiringi pelajar-pelajar hadir di program tersebut.  Turut hadir, Dato’ Dr. Nursabrina bt Mohd Nor, Setiausaha Agung World Youth Foundation. 

Di majlis yang sama, para jemputan telah menyaksikan pelancaran buku edisi Bahasa Malaysia (B.M.) yang bertajuk Munshi Abdullah: Memperingati Suatu Legasi karya peguam dan bekas Hakim, Datuk Siti Saleha Sheikh Abu Bakar, cicit kepada Munshi Abdullah.  Buku ini merupakan adaptasi dan kesinambungan daripada edisi Bahasa Inggeris (Munshi Abdullah: A Legacy) yang telah mendokumentasikan salasilah keluarga serta sumbangan Bapa Kesusasteraan Melayu Moden, Munshi Abdullah Sheikh Abdul Kadir.    

Selain memaparkan sejarah keluarga, buku ini turut mengangkat nilai tanggungjawab, pendidikan dan perkhidmatan awam yang menjadi warisan turun-temurun keluarga berkenaan, disamping mengimbau Melaka sebagai tempat kelahiran Munshi Abdullah.