MELAKA: Program kitar semula botol plastik yang dianjurkan oleh World Youth Foundation (WYF) sempena Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 Peringkat Kebangsaan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, berjaya mengumpulkan dua tong roll-on roll-off (RORO) yang penuh dengan botol plastik dalam tempoh sehari sahaja.
Program yang mendapat sokongan lebih daripada 100 sukarelawan itu turut menarik penyertaan pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta sukarelawan dari dalam dan luar negara, termasuk peserta dari Singapura.
Pengerusi WYF, Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali, berkata pencapaian ini membuktikan bahawa kesedaran masyarakat terhadap kelestarian alam sekitar semakin meningkat dari semasa ke semasa.
“Jika satu botol plastik 250 mililiter (ml) tanpa air mempunyai berat lebih kurang 13 gram (g), bayangkan jumlah botol yang berjaya dikutip sehingga memenuhi dua lori RORO. Ini merupakan satu kejayaan besar hasil usaha bersama semua pihak,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau turut menambah bahawa inisiatif ini bukan sahaja memberi impak kepada pengumpulan sisa plastik, malah membantu meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan pengurusan sisa yang lestari.
“Ini merupakan langkah kecil tetapi sangat bermakna ke arah masa depan yang lebih mampan. Tahun hadapan, kami merancang untuk memperluaskan skop program ini merangkumi pengasingan sisa plastik lain seperti cawan dan pinggan, serta sisa organik dan makanan yang dihasilkan sepanjang sambutan di MITC,” Ujarnya.
Program ini turut menerima sokongan padu daripada Jawatankuasa Induk Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 Peringkat Kebangsaan serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang terlibat. – UTUSAN

