Bersempena dengan Sambutan Hari Jururawat Sedunia, World Youth Foundation (Yayasan Belia Sedunia) lazimnya akan meraikan hari istimewa tersebut dengan pemberian kek dan sijil penghargaan serta hadiah “goodie bag” kepada jururawat yang bertugas di klinik-klinik kesihatan di sekitar Melaka Tengah.
Pengerusi WYF, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali, telah hadir sendiri untuk menyampaikan sijil penghargaan kepada para jururawat yang bertugas di Klinik Kesihatan Ayer Molek. Turut hadir ialah Setiausaha Agung WYF, Dato Noorsabrina bt Mohd. Noor dan Ketua Matron Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah, Puan Erly Kasmuni serta para penyelia dan jururawat yang bertugas di klinik tersebut. Acara simbolik potong kek mewarnai majlis diikuti dengan penyerahan sijil-sijil penghargaan serta hadiah “goodie bags” kepada matron dan jururawat yang bertugas di klinik kesihatan Ayer Molek.
Menurut Pengerusi WYF, Datuk Mohd Ridhwan Mohd. Ali, WYF bersama-sama staf Yayasan berhasrat untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh jururawat atas jasa, pengorbanan dan dedikasi yang dicurahkan dalam menjaga kesihatan serta kesejahteraan masyarakat.
“Profesion kejururawatan bukan sekadar satu pekerjaan, tetapi merupakan satu amanah yang menuntut kesabaran, kecekalan dan sifat kemanusiaan yang tinggi. Jururawat sentiasa berada di barisan hadapan — menghulurkan bantuan, memberi rawatan, dan menjadi sumber kekuatan kepada pesakit serta keluarga mereka, tanpa mengira waktu dan keadaan,” kata beliau.
Seluruh dunia amat menghargai pengorbanan para jururawat yang sanggup berkorban masa, tenaga dan emosi demi memastikan setiap pesakit menerima rawatan terbaik. Dalam suasana dunia yang semakin mencabar, peranan jururawat menjadi semakin penting sebagai tulang belakang sistem kesihatan negara.
Tema sambutan Hari Jururawat pada tahun ini, “Jururawat Kita. Masa Depan Kita. Jururawat Yang Diperkasa Menyelamatkan Nyawa” (Our Nurses. Our Future. Empowered Nurses Saves Lives) mengingatkan kita bahawa keprihatinan, profesionalisme dan semangat kerja berpasukan adalah asas utama dalam membina masyarakat yang sihat dan sejahtera. Justeru, marilah kita terus menyokong usaha memperkasakan profesion kejururawatan melalui latihan, pembangunan kemahiran serta penghargaan yang sewajarnya, tambah beliau lagi.
Kepada semua jururawat, terima kasih atas jasa dan pengorbanan anda. Semoga segala usaha murni ini terus diberkati dan menjadi inspirasi kepada generasi akan datang. Selamat Menyambut Hari Jururawat Sedunia kepada semua insan yang bergelar jururawat.
Pengerusi World Youth Foundation, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berucap meraikan Hari Jururawat Sedunia (12hb Mei, 2026) di Klinik Kesihatan Ayer Molek, Melaka Tengah.
Penyampaian Sijil Penghargaan dan hadiah “goodie bag” kepada para jururawat
di Klinik Pergigian Ayer Molek.



