“Sejujurnya, saya tidak pernah menjangkakan akan memenangi sebarang anugerah di Persidangan INTERACT 2026. Langsung tidak terlintas di fikiran bahawa kertas kerja yang saya bentangkan pada persidangan tersebut akan memenangi anugerah utama,” kata Setiausaha Agung World Youth Foundation (WYF), Adjunct Prof. Dato’ Norsabrina binti Mohd Noor.
“Saya dijemput oleh pihak penganjur dan telah menyediakan sebuah kertas kerja yang memfokuskan kepada STEM serta impak dan implikasinya terhadap masa depan pendidikan. Saya hanya menantikan peluang untuk menghadiri dan membentangkan kertas kerja saya di persidangan tersebut di Bangkok, Thailand. Saya juga tidak mengetahui bahawa pihak penganjur telah menyediakan beberapa anugerah untuk para pembentang kertas kerja,” jelas Dato’ Norsabrina kepada wartawan khas WYF, Bahar Aziz.
Tahniah diucapkan kepada Dato’ Norsabrina atas kejayaan memenangi Anugerah Emasdi acara INTERACT 2026 (International Conference on Teaching, Research, Administration, Leadership & Creative Transformation) yang berlangsung di Bangkok, Thailand pada akhir Januari 2026. Persidangan tahunan tersebut dianjurkan oleh Malaysia Young Scientists Organisation (MYSO) dengan kerjasama Fakulti Pendidikan, Kasetsart University, Thailand.
Kertas kerja beliau yang bertajuk “The Effectiveness of Practical STEM-based Approaches in Enhancing Life Science Learning Outcomes Among TVET Students: Evidences from X Institution” bukan sahaja menarik perhatian serta pujian daripada panel penilai persidangan, malah turut mendapat pengiktirafan daripada para peserta yang hadir.
STEM merujuk kepada Science, Technology, Engineering & Mathematics, manakala TVET merujuk kepada Technical and Vocational Education and Training. Pembentangan beliau juga telah melayakkan beliau menerima Global Educator Prize, yang dianugerahkan sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan profesional, kepimpinan pemikiran, serta dedikasi beliau dalam memacu perubahan positif dalam bidang pendidikan dan pembangunan organisasi.
Dato’ Norsabrina mendedikasikan Anugerah Emas tersebut kepada World Youth Foundation (WYF), khususnya kepada Pengerusinya, Datuk Mohd. Ridhwan bin Mohd. Ali, atas dorongan serta sokongan yang diberikan kepada beliau untuk menjalankan kajian dan seterusnya membentangkan kertas kerja mengenai keberkesanan pendekatan praktikal STEM dalam meningkatkan hasil pembelajaran Sains Hayat.
Beliau juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Assoc. Prof. Dr. Harith Jamlus, penyelia tesis Ph.D beliau, serta pasukan penyelidikan yang cemerlang di UNIMAP (Universiti Malaysia Perlis) atas sokongan dan kerjasama sepanjang proses penyelidikan tersebut.
[Dato’ Norsabrina boleh dihubungi melalui emel: ybdsabrina@gmail.com]

